THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Selasa, 26 Januari 2010

kes ustaz MAZA..mahkamah tolak bantahan awal


Cubaan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin untuk membatalkan pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah yang dihadapinya gagal apabila bantahan awalnya ditolak oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Hakim Syarie Mohammad Adib Husain yang membuat keputusan itu berkata, Mahkamah Syariah Selangor mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes tersebut kerana ia kesalahan membabitkan rukun-rukun agama Islam.

Katanya, pertuduhan terhadap Mohd. Asri mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 juga tidak bercanggah dengan hukum syarak mahupun Perkara 10 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan bercakap dan kebebasan beragama.

Sebaliknya, jelas beliau, seksyen itu digubal bagi mengelakkan wujudnya perkara negatif sehingga merenggangkan hubungan sesama Islam dan bukannya menyekat kebebasan menyebarkan ajaran Islam.

Mohammad Adib turut berpendapat bahawa pertuduhan yang dihadapi Mohd. Asri itu berkaitan dengan akhlak dan wajar diselesaikan di Mahkamah Syariah kerana melibatkan pengajar dan pendengar beragama Islam.

"Allah SWT mengajar peradaban yang tinggi kepada orang Islam dan antaranya masuk ke rumah orang perlu meminta izin dan ia adalah cara dan peraturan yang sopan.

"Peraturan yang dikenakan jabatan agama Islam kepada orang Islam untuk mendapatkan tauliah sebelum boleh mengajar agama adalah untuk kebaikan masyarakat Islam sendiri.

"Seksyen 119(1) itu digubal bagi mengawal ajaran yang bertentangan dengan syariah daripada tersebar di kalangan masyarakat sehingga boleh berlaku perpecahan,'' katanya.

Sehubungan itu, Mohammad Adib memerintahkan Mohd. Asri memfailkan afidavit balasan terhadap permohonan pihak pendakwa agar keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menolak kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah disemak semula pada 8 Februari ini.

Beliau turut menetapkan 20 Februari ini untuk pihak pendakwaan menjawab afidavit balasan itu dan 9 Mac untuk perbicaraan permohonan semakan tersebut.

Mohd Asri, 38, dituduh mengajar agama Islam tanpa tauliah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di rumah No. 2, Lorong 2C, Taman Sri Ukay, Ampang Daerah Gombak, antara 8.10 sehingga 9.45 malam, 1 November tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

0 ulasan: